04 January 2009

Wuduk Bersentuhan Dengan Non Muslim

Sekiranya kita telah mengambil wuduk, apakah hukumnya jika orang kafir memegang kita yang dalam berkeadaan wuduk? Adakah batal sembahyang kita?
------
wa'alaikumussalam

Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan anda dengan kadar kemampuan yang ada, Insya-Allah.

Mungkin ada yang menganggap orang kafir ini fizikalnya najis sehingga boleh membatalkan wudhu'. Firman Allah swt :-

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ

"Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya (kepercayaan) orang-orang kafir musyrik itu najis" - [surah al-Taubah : 28]

Dari segi hukum, jika seseorang telah menyentuh najis, wudhu'nya tidak terbatal. Seseorang itu cuma dikehendaki membersihkan dirinya dari kotoran najis sebelum melakukan solat dsb.

Syiekh Ibn Utsaimin rh menyatakan bahawa "orang kafir adalah najis" dengan bermaksud najis ma'nawi. Dikatakan najis kerana aqidah mereka tidak sahih. Mereka hanya akan menjadi "suci" apabila memeluk agama Islam.

Hukum bersentuhan diantara orang kafir dengan orang Islam sama sahaja hukumnya. Jika didalam Mazhab Syafie, batal wudhu' bersentuhan diantara lelaki dan wanita, tidaklah dikira samada kafir atau Islam, hukumnya tetap batal. Begitu juga dengan majoriti Mazhab yang mengatakan tidak batal bersetuhan diantara lelaki dan wanita, maka tidak kiralah samada kafir ataupun Islam salah satunya, wudhu'nya tidak terbatal. WA.

Sekian, wassalam

1 comments:

Reza said...

Thank you for the info. Sudah lama saya mencari info tentang tersentuh non-muslim ketika dalam wuduk.

Post a Comment