26 December 2008

Sentuh Quran Tanpa Wuduk

assalamualaikum...

saya ana sedikit kemskilan,saya rasa soalan ini mungkin dah dijawab oleh ahli2 poanel namun setelah penat menjari dalam al-ahkam saya masih tak dapat jawapannya..

apakah hukum menyentuh alquran tanpa wuduk???????saya tak pasti ...
ada yg kata tak apa ia hanya adab2 terhadap al-quran..betulke?
ada pula yg kata wajib apa dalailnya?
'illalmutahharun" tu merujuk kat sape?

terima kasih atas jasa baik ustaz2 ..
wassalam...

-----------
Salam

Jawapan THTL dari arkib:

Perlukah berwudhu ketika berurusan(baca, pegang) dengan Al-Quran?

Quote:

Pertama: Ijma' fuqaha' menetapkan harus membaca alQur'an tanpa wudhu' dan tanpa menyentuh musyhaf, namun berwudhu' itu lebih afdhal (Imam Syaraf anNawawi, alMajmu' Jld 2, ms 76)

Kedua: Orang berhadas kecil membaca, menyentuh dan membawa dari musyhaf. Khilaf fiqhi, jumhur (termasuk Syafi'iyah) menegahnya berdasarkan dalil Qur'ani alWaqi'ah:78-79 dan hadis riwayat Malik dan Baihaqi dari Umar bin Hizam.

Para pentahqeeq (penilai semula) terdiri dari pentarjih hadis dan ahli tafsir alQur'an berpendapat orang berhadas kecil dan besar boleh membawa, menyentuh dan membaca alQur'an. Antaranya ialah Imam alHafidz asySyawkani (nailool Awthor, Jld 1), Imam alHafiz Ibn Hajar (Fathul Baari, Jld 1) mereka menggunakan pendapat Ibn Abbas, pentafsir nombor satu alQur'an yg mentafsirkan ayat 79 dalam surah alWaqi'ah yg secara mutlak merujuk kepada Malaikat, kerana ayat 11-16 (S Abasa) dan ayat alBuruj 21-22) memperkuatkan tafsiran ayat 79 (S Waqi'ah) itu adalah Malaikat. Dari pengkaji hadis pula mendapati hadis-hadis yg menegah orang hadas menyentuh alQur'an ada cacatnya.

Seorang pengkaji semula hukum-hukum fiqih dari Saudi, Syaikh Abu Yusof Abd Rahman Abd Samad,as-ilatu thalatah Haulaha al Jadal merumuskan dari perselisihan fuqaha' ini,. hukum pertengahan ialah Makruh hukumnya orang berhadas menyentuh dan membawa musyhaf.

_________________
Jawapan Ustaz Nahzaluz dari BMC

Dalil setiap pendapat

1. Dalil golongan yang mengatakan haram:

a. Firman Allah Ta'ala dalam Surah al-Waqiah ayat 79:
لا يمسه إلا المطهرون (Tidak menyentuhnya kecuali mereka yang suci)

Mereka mengatakan ganti nama nya dalam ayat itu balik kepada al-Qur'an, bukannya Luh Mahfuz.

Akan tetapi mereka khilaf pula, apakah yang dimaksudkan dgn al-Mutahharun? Ada yang kata: Orang yang suci dari hadas dan najis. Yang lain pula kata: Suci dari syirik dan kekufuran, iaitu orang-orang mukmin. [sila rujuk Tafsir al-Qurtubi 17/226]

Sebahagian ulama' berpendapat, ganti nama tersebut balik kepada Luh Mahfuz. Jadi, tak boleh berhujah dgn ayat ini. al-Mutahharun pula adalah para Malaikat yang Allah bersihkan mereka dari tabiat yang negatif dan sifat-sifat yang tercela. Ayat ini sebenarnya satu penafian dan penolakan kepada hujah golongan musyrikin yang mendakwa Syaitanlah yang telah menurunkan kitab al-Qur'an ini. Sila rujuk ayat 210-212 surah al-Syu'ara'.

Antara hujah yang menyokong pendapat ini -sebagaimana yang disebut oleh Qatadah- ialah al-Qur'an boleh dipegang di dunia ini oleh si Majusi dan si Munafiq yang dianggap najis, sedangkan al-Qur'an kata, ia tidak dipegang kecuali oleh mereka yang suci. [sila rujuk Tafsir al-Tabari 17/226]

al-Alusi menyebut di dalam tafsirnya Ruhul Ma'ani (27/155): Imam Sayuti menyebut di dalam kitab al-Ahkam: Imam Syafie berdalilkan ayat ini dgn mengatakan orang yang berhadas tidak boleh memegang al-Qur'an. Ini adalah pilihan yang zahir dari ayat ini. Akan tetapi oleh kerana ada ihtimal/kemungkinan ganti nama boleh balik kepada Qur'an dan juga kepada Luh Mahfuz, dan maksud al-Mutahharun ialah Malaikat al-Muqarrabun, kebanyakan ulama' yang berkata haram berpindah kepada beristidlal dgn hadis.

Manakala Ibn Rusyd pula berkata (Bidayatul Mujtahid 1/42): Sebab khilaf ialah perkataan al-Mutahharun boleh membawa makna manusia dan juga malaikat, di samping ayat ini juga boleh jadi suatu perkhabaran yang bermaksud larangan dan juga boleh jadi perkhabaran semata-mata.

b. Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Malik dalam Muwatta', dari Abdullah bin Abu Bakar bin Hazmi, bahawa dalam kitab yang ditulis oleh Rasulullah s.a.w kepada 'Amru bin Hazmi terdapat: أن لا يمس القرآن إلا طاهر (bahawa tidak boleh memegang al-Qur'an kecuali orang yang suci) [Muwatta' 141].

Hadis ini merupakan petikan dari kitab yang ditulis oleh Nabi kepada 'Amru bin Hazmi di Yaman. Kitab ini berada bersama kaum keluarga beliau selepas kematiannya. al-Daruqutni dan al-Hakim pula meriwayatkan bahawa Umar bin Abdul Aziz telah menghantar wakil ke Madinah untuk mencari sesuatu petunjuk sunnah Nabi dalam bab zakat dan wakilnya itu telah menjumpai kitab ini dalam simpanan keturunan ‘Amru bin Hazmi [lihat komentar Syeikh Ahmad Syakir dlm kitab al-Muhalla oleh Ibn Hazmi 1/82].

Syeikh Ahmad Syakir menyebut bahawa beliau telah menjumpai hadis ini selengkapnya dalam Mustadrak al-Hakim (1/359, cetakan India) di mana sebahagian darinya terdapat juga di dalam sahih Ibnu Hibban, sunan al-Daruqutni dan sunan al-Nasaie.

Komentar ttg hadis ini ialah sanadnya mursal. Ibnu Abdil Barri berkata: Tiada khilaf dari Imam Malik bahawa hadis ini mursal. Walau bagaimanapun ia diriwayat secara bersanad dari jalan lain yang bagus. Ia adalah sebuah kitab yang masyhur di kalangan ahli sejarah dan terkenal di kalangan ulama’ di mana kemasyhurannya itu menyebabkan ia tidak perlu (dilihat) kepada sanadnya [kata-kata ini dinukil oleh penyunting kitab Muwatta’ ms 141].

Ibnu Kathir menyebut bahawa Abu Daud telah meriwayatkan di dalam kitab al-Marasil dari hadis al-Zuhri bahawa beliau berkata: Aku telah membaca di dalam sahifah Abu Bakar bin Amru bin Hazmi bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak boleh menyentuh al-Qur’an kecuali orang yang suci. Ibnu Kathir berkata: Ini adalah sesuatu yang bagus. Al-Zuhri dll telah membacanya, dan yang seperti ini sepatutnya diambil (dipegang) [Tafsir Ibnu Kathir 6/537].

Hadis ini diriwayatkan secara bersambung sanadnya dari empat orang sahabat, iaitu ‘Amru bin Hazmi, Hakim bin Hizam, Ibnu Umar, dan Uthman bin Abi al-‘As.

Al-Marhum Syeikh Nasiruddin al-Albani [di dalam kitab Irwa’ul Ghalil (1/160-161)] telah menyebut kesemua sanad hadis ini dan kitab-kitab hadis yang mentakhrijnya, kemudian beliau berkata: Sesungguhnya kesemua jalan hadis ini tidak bebas dari unsur dhaif. Akan tetapi dhaifnya itu adalah kecil kerana tiada perawi yang dituduh sebagai pendusta. ‘Illah hadis ini hanya irsal atau hafalan yang kurang baik, dan sebagaimana yang telah ditetapkan di dalam ilmu Mustalahul hadis bahawa setiap jalan periwayatan hadis boleh menguatkan di antara satu sama lain sekiranya tiada rawi yang dituduh pendusta. Ini telah dinyatakan oleh al-Nawawi di dalam Taqribnya dan al-Suyuti di dalam syarahnya. Diri ini menyatakan penerimaan terhadap kesahihan hadis ini, lebih-lebih lagi Imam Ahmad telah berhujah dgn hadis ini. Imam Ishaq bin Rahawaih juga telah mentashihkannya. Ishaq al-Maruzi berkata di dalam kitab Masa’il Imam Ahmad: Aku bertanya Imam Ahmad: Bolehkah seorang lelaki itu membaca Qur’an tanpa wudhu’? Imam Ahmad menjawab: Ya, boleh. Tapi dia tidak boleh membaca di mashaf selagi dia tidak berwudhu’. Ini kerana telah sabit dari Nabi s.a.w: Tidak boleh menyentuh al-Qur’an kecuali orang yang suci. Begitulah juga yang telah dilakukan oleh para sahabat dan tabiein.

Syeikh al-Albani juga menyebut bahawa telah sabit dan sah riwayat yang mengatakan Sa’ad bin Abi Waqqas telah menyuruh anaknya Mus’ab supaya berwudhu’ dahulu sebelum menyentuh al-Qur’an. Ia diriwayatkan oleh Imam Malik dan al-Baihaqi dgn sanad yang sahih.

Beliau juga berkata bahawa beliau telah membaca kitab Fawa’id Abi Syu’aib dan mendapati Imam al-Baghawi telah bertanya Imam Ahmad ttg hadis ini. Imam Ahmad berkata: Aku harap ianya sahih.

Sebenarnya kesahihan hadis ini juga telah dinyatakan oleh Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah. Beliau telah berhujah dgn hadis ini di banyak tempat dalam kitabnya [lihat Majmu’ Fatawa 17/12 & 21/228]

Al-San’ani berkata: Kitab ‘Amru bin Hazmi telah sepakat diterima ramai. Ibnu Abdil Barri pula berkata: Ia seperti mutawatir kerana telah sepakat diterima ramai. Ya’qub bin Sinan juga berkata: Aku tidak tahu di sana ada sebuah kitab yang lebih sahih dari kitab ini. Sesungguhnya para sahabat dan tabiein merujuk kepadanya dan meninggalkan pendapat mereka sendiri. Al-Hakim berkata: Umar bin Abdul Aziz dan Imam zamannya, iaitu al-Zuhri telah menyaksikan bahawa kitab ini adalah sahih [lihat Subulussalam oleh al-San’ani 1/70]

2. Dalil golongan yang mengatakan boleh.

a. Ibnu Hazmi berkata: Membaca al-Qur’an, memegangnya, dan berzikir kepada Allah adalah perbuatan baik yang disunatkan dan diberi pahala kepada pelakunya. Sesiapa yang mengatakan ia kekadang (yakni dalam sesetengah keadaan) terlarang perlulah membawakan bukti! [al-Muhalla 1/78]

b. Hadis dalam Sahih Bukhari: dari Ibnu Abbas bahawa Abu Sufyan ketika beliau berada di Syam sebelum keislamannya telah dipanggil oleh Raja Rom. Kemudian dibawakan surat Nabi yang dihantar kepadanya yang menyeru beliau kepada Islam. Di dalam surat itu terdapat ayat 63 Surah Aali Imran.

Hujah mereka ialah Nabi telah menulis kepada Raja Rom yang kafir dan beliau telah memegangnya. Sekiranya orang kafir boleh pegang, maka lebih-lebih lagilah orang yang berhadas.

Pihak yang mengatakan haram menjawab: Surat tersebut mengandungi bukan saya ayat ini tetapi ada juga perkara lain. Ia sebenarnya sama dgn kitab Fekah atau Tafsir, dan Jumhur ulama’ mengatakan boleh memegangnya walaupun tidak berwudhu’.

Tetapi Ibnu Hazmi menjawab balik dgn berkata: Sekiranya kamu kata Nabi telah hantar satu ayat saya kepada Raja Rom, Nabi sebenarnya boleh hantar lebih banyak dari itu. Kamu kan ahlul Qiyas. Kalau kamu tak boleh qiyaskan ayat yang banyak dgn satu ayat, maka kamu jgn qiyaskan ayat lain dgn ayat ini!.

Sekian.

0 comments:

Post a Comment