24 December 2008

Wuduk Berkumur Dan Menaikkan Air Ke Hidung

Assalamualaikum

Saya dapati ada yang mengatakan bahawa memisahkan kumur air and menghirupkan air adalah Sunnah Rasullulah SAW. Soalanya bagaimana kafiatnya perlakuan itu dan apa yang afdal dalam pekerjaannya menurut hadith serta kedudukan hadith.

Terima Kasih


**********************************************
وعليكم السلام و رحمة الله وبركاتهم
{ بسم الله الرحمن الرحيم }
(( رب إشرح لي صدري و يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي ))

Alhamdulillah, berdasarkan butiran-butiran berikut adalah merupakan jawapan-jawapan bagi setiap soalan yang diajukan menurut pengetahuan kami yang sedikit , yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala :

(1) - Masalah Berkumur-kumur air wudhuk & menaikkan air ke hidung ( menghirup air dengan hidung ) . Sepanjang pengetahuan kami yang masih sedikit ini, ianya dilakukan secara terpisah di antara kedua-duanya (menurut Mazhab Imam Asy-Syafie r.h ), iaitu dengan berkumur-kumur dengan satu cedokan, dan diikuti pula dengan menaikkan air wudhuk (menghirup) ke hidung dengan cedokan yang lain pula. Hukumnya: Sunat.

Manakala menurut Mazhab Hanbali pula : Kedua-duanya itu adalah wajib hukumnya kerana kedua-duanya itu termasuk di dalam erti muka. ( Lihat : Fiqh Al-Islami Wa Adillatuh ; oleh Prof. Dr. Wahbah Az-Zuhaily )

(2)- Manakala kaedah berwudhuk Nabi s.a.w sebagaimana yang terdapat di dalam Hadis-Hadis yang sahih, di antaranya yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim ( Rahimahullahu Ta’ala ‘Alaihima ) adalah sebagaimana berikut :

Hadis Pertama :

حَدِيثُ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ زَيْدِ بْنِ عَاصِمٍ الْأَنْصَارِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ : قِيلَ لَهُ تَوَضَّأْ لَنَا وُضُوءَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَدَعَا بِإِنَاءٍ فَأَكْفَأَ مِنْهَا عَلَى يَدَيْهِ فَغَسَلَهُمَا ثَلَاثًا ثُمَّ أَدْخَلَ يَدَهُ فَاسْتَخْرَجَهَا فَمَضْمَضَ وَاسْتَنْشَقَ مِنْ كَفٍّ وَاحِدَةٍ فَفَعَلَ ذَلِكَ ثَلَاثًا ثُمَّ أَدْخَلَ يَدَهُ فَاسْتَخْرَجَهَا فَغَسَلَ وَجْهَهُ ثَلَاثًا ثُمَّ أَدْخَلَ يَدَهُ فَاسْتَخْرَجَهَا فَغَسَلَ يَدَيْهِ إِلَى الْمِرْفَقَيْنِ مَرَّتَيْنِ مَرَّتَيْنِ ثُمَّ أَدْخَلَ يَدَهُ فَاسْتَخْرَجَهَا فَمَسَحَ بِرَأْسِهِ فَأَقْبَلَ بِيَدَيْهِ وَأَدْبَرَ ثُمَّ غَسَلَ رِجْلَيْهِ إِلَى الْكَعْبَيْنِ ثُمَّ قَالَ هَكَذَا كَانَ وُضُوءُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

“ Diriwayatkan daripada Abdullah bin Zaid bin Aa'sim al-Ansari r.a katanya: Beliau telah ditanya: Tunjukkan kepada kami cara Rasulullah s.a.w berwuduk. Maka beliau pun meminta sebekas air, lalu menuang sedikit air ke atas tapak tangan dan membasuhnya sebanyak tiga kali. Kemudian beliau memasukkan tangan ke dalam bekas untuk menceduk air dengan tangannya dan berkumur-kumur serta memasukkan air ke dalam hidung dengan air yang sama sebanyak tiga kali. Kemudian beliau menceduk air sekali lagi lalu membasuh muka sebanyak tiga kali. Selepas itu beliau menceduk lagi dengan tangannya lalu membasuh tangan hingga ke paras siku dua kali. Kemudian beliau menceduk lagi lalu menyapu kepala dalam keadaan menyapu tangannya dari arah depan kepala ke arah belakang dan menyapu tangannya kembali ke arah depan kepala, kemudian beliau membasuh kedua kakinya hingga ke paras buku lali. Selepas itu beliau berkata: Beginilah cara Rasulullah s.a.w mengambil wuduk “.

SUMBER : ( Kitab At-Toharah : Bab Fi Wudhu’ An-Nabi s.a.w –Hadis Sahih riwayat Imam Al-Bukhari & Imam Muslim Rahimallahu Ta’ala ‘Alaihima )

Hadis Kedua :

حَدِيثُ عُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ : أَنَّهُ دَعَا بِوَضُوءٍ فَتَوَضَّأَ فَغَسَلَ كَفَّيْهِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ ثُمَّ مَضْمَضَ وَاسْتَنْثَرَ ثُمَّ غَسَلَ وَجْهَهُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ ثُمَّ غَسَلَ يَدَهُ الْيُمْنَى إِلَى الْمِرْفَقِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ ثُمَّ غَسَلَ يَدَهُ الْيُسْرَى مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ مَسَحَ رَأْسَهُ ثُمَّ غَسَلَ رِجْلَهُ الْيُمْنَى إِلَى الْكَعْبَيْنِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ ثُمَّ غَسَلَ الْيُسْرَى مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ قَالَ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَوَضَّأَ نَحْوَ وُضُوئِي هَذَا ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ تَوَضَّأَ نَحْوَ وُضُوئِي هَذَا ثُمَّ قَامَ فَرَكَعَ رَكْعَتَيْنِ لَا يُحَدِّثُ فِيهِمَا نَفْسَهُ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“ Hadis Saidina Othman bin Affan r.a: Diriwayatkan daripada Humran r.a katanya: Saidina Othman bin Affan r.a telah meminta air untuk berwuduk, setelah memperolehi air beliau terus membasuh dua tangan sebanyak tiga kali, kemudian berkumur-kumur serta memasuk dan mengeluarkan air dari hidung. Kemudian beliau membasuh muka sebanyak tiga kali dan membasuh tangan kanannya hingga ke paras siku sebanyak tiga kali. Selepas itu beliau membasuh tangan kirinya sama seperti beliau membasuh tangan kanan kemudian menyapu kepalanya dan membasuh kaki kanan hingga ke paras buku lali sebanyak tiga kali. Selepas itu beliau membasuh kaki kiri, sama seperti membasuh kaki kanannya. Kemudian Saidina Othman r.a berkata: Aku pernah melihat Rasulullah s.a.w berwuduk seperti cara aku berwuduk. Aku juga telah mendengar baginda s.a.w bersabda: Sesiapa yang mengambil wuduk seperti cara aku berwuduk kemudian dia menunaikan sembahyang dua rakaat dan tidak berkata-kata antara wuduk dan sembahyang, maka Allah akan mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu “.

PENJELASANNYA : SUMBER : ( Kitab At-Toharah : Bab Sifat Al-Wudhu’ Wa Kamalih –Hadis Sahih riwayat Imam Al-Bukhari & Imam Muslim Rahimallahu Ta’ala ‘Alaihima )

PENJELASANNYA :

Di dalam hadis pertama dinyatakan : (( “….Kemudian beliau – iaitu Abdullah r.a - memasukkan tangan ke dalam bekas untuk menceduk air dengan tangannya dan berkumur-kumur serta memasukkan air ke dalam hidung dengan air yang sama sebanyak tiga kali …. “ )). Hadis ini menunjukkan kaifiat wudhuk Nabi s.a.w yang diamalkan oleh Saidina Abdullah (r.a) ialah dengan cara berkumur-kumur serta memasukkan air ke dalam hidung dengan air yang sama.

Manakala di dalam hadis kedua pula dinyatakan : (( “…kemudian berkumur-kumur serta memasuk dan mengeluarkan air dari hidung” )) menunjukkan bahawa cara wudhuk Nabi s.a.w sebagaimana yang dipraktikkan oleh Saidina Utsman (r.a) adalah sama dengan apa yang dipraktikkan oleh Saidina Abdullah (r.a) di dalam hadis yang pertama iaitu dengan berkumur-kumur dan memasukkan air ke hidung dengan cedokan air wudhuk yang sama (satu) – sebagaimana keterangan-keterangan drp hadis-hadis lain yang juga sahih.

KESIMPULANNYA :

Menurut Mazhab Imam Asy-Syafi’e (rh) : Ianya dilakukan secara terpisah.

Menurut Mazhab (amalan) Para Sahabat (r.a) diatas : Ianya dilakukan secara tidak terpisah. Dan amalan inilah yang lebih kami cenderung untuk beramal dengannya.

***********************
Begitulah jawapan-jawapan berdasarkan soalan-soalan yang tersurat, walhal Allah Ta’ala Lebih & Maha Mengetahui setiap apa yang tersirat.

Wallahu A’alam Bissowab
Wahuwa Yahdi Ila Sabilir Rasyad

و إلى اللقاء إن شاء الله تعالى
والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته

0 comments:

Post a Comment