28 January 2010

Alkohol Dalam Minyak Wangi

Postby g@y@t »

Assalamu'alaikum,
Disini saya ingin mendapat kepastian pihak al-ahkam menyelesaikan masalah yang telah lama berlaku dikalangan umat islam, iaitu persoalan mengenai hukum memakai minyak wangi yang bercampur dengan alkohol kemudian dibawa bersembahyang adakah sembayang itu sah atau pun sebaliknya, diharap pihak tuan dapat menjawapnya berserta
hujah-hujahnya, sekian wassalam.



<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<~>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
Jawapan

Alhamdulillah, inilah jawapannya:

Ia merupakan salah satu daripada masalah baru yang begitu hangat dibincangkan. Mungkin agak sukar kita menemui perkara ini di dalam kitab-kitab fikah klasik.

Berhadapan dengan masalah baru begini, para ulamak semasa hendaklah berijtihad untuk menentukan hukumnya. Begitu juga dengan masalah yang memang biasa berlaku dahulu, telah dikeluarkan hukumnya, dan telah juga diamalkan oleh umat Islam. Namun, oleh kerana pengetahuan manusia tentang sains dari masa ke semasa berkembang, maka ia bisa berubah seiring dengan perkembangan ilmu manusia. Dahulu satu-satu masalah itu, boleh jadi hukumnya haram kerana pengetahuan manusia ketika itu tidak dapat menyingkap hakikatnya. Namun sekarang ini oleh kerana ilmu mereka bertambah tentang sesuatu, dan dapat menyingkap hakikatnya, maka ia bertukar menjadi halal.

Seperti masalah alkohol di dalam perfume, boleh jadi ulamak dahulu menghukumkannya sebagai haram kerana pengetahuan ketika itu tidak dapat menyingkap hakikat alkohol. Bagaimana ia terjadi, prosesnya bagaimana, apakah ia sama dengan alkohol yang terdapat pada khamar.. Dan seterusnya. Kita yakin, seandainya ulamak dahulu tahu sebagaimana yang orang sekarang tahu, sudah tentu mereka juga akan berfatwa seperti ulamak-ulamak hari ini fatwakan.

Ulamak-ulamak dahulu menfatwakan alkohol yang terdapat pada perfume adalah najis, sebagaimana najisnya khamar/arak. Manakala ulamak-ulamak sekarang mengatakan sebagai suci tidak najis. Masing-masing berijtihad berdasarkan hasil kajian yang mereka perolehi.

Bagaimana.. Dahulu kata najis. Sekarang ini boleh jadi suci pula?
Bagaimana hukum itu boleh berubah? Itulah dia yang dinamakan fikah. Ia berkembang, tidak statis. Ia menunjukkan keluasan feqh islami. Ia adalah bukti keadilan hukum Allah. Betapa, hukum Islam ini sesuai untuk setiap zaman dan keadaan. Feqh Islami sejak dahulu lagi sememangnya telah siap sedia berhadapan dengan sains modern hari ini. Malah sains yang bakal
mendatang.

Umar r.a. menegaskan: "Perbezaan hukum ijtihadi adalah disebabkan perbezaan lingkungan/persekitaran dan daerah."

Kata Mahmasani di dalam Falsafah al-Tasyri' Fil Islam: "Oleh kerana kepentingan mutlak yang menjadi dasar dari segala hukum, sebagaimana telah kami jelaskan sebelumnya, maka hukum mestilah berubah sesuai dengan perubahan zaman dan perubahan lingkungan masyarakat, Benarlah Ibnu al-Qaiyim ketika dia mengatakan bahawa fatwa berubah dan berbeza sesuai dengan perubahan zaman, tempat, situasi, niat dan adat kebiasaan."

Rasulullah s.a.w. telah mengisyaratkan bahawa mujtahid yang berijtihad, jika betul, dia akan memperoleh dua pahala. Jika salah, dia akan memperoleh satu pahala (HR Bukhari & Muslim). Konsep ijtihad inilah yang dapat mencairkan kebekuan/kejumudan, sehingga ia boleh mengalir ke mana-mana sudut tanpa halangan.

Feqh Islam tidak hanya bergayut-gayut di teks-teks syarak yang tidak banyak jumlahnya. Bayangkan, ayat-ayat al-Quran cuma berapa ayat sahaja.. Cuba bandingkan dengan masalah yang dihadapi oleh manusia. Hatta jika kita tambah dengan teks-teks hadis, ia tidak mungkin juga mampu menampung keperluan masalah manusia yang semakin hari semakin bertambah.

Agama-agama lain sudah lama tewas. Ideologi-ideologi modern pula, dapat kita saksikan di depan mata kita sendiri.. Satu demi satu tumbang. Yang tinggal.. Yang unggul. Yang tiada duanya, hanyalah syariat Islam.

Senjata ampuh syariat Islam ialah al-Quran dan al-Hadis. Sekalipun al-Quran dan al-Hadis tidak menyebut segala-gala secara terperinci, tetapi keumumannya yang sempurna melengkapi segenap apa sahaja. Mau apa.. Semuanya ada. Teks-teksnya yang ringkas tetapi mengandungi 1001 macam pengajaran dan ilmu.

Itulah tanda Islam ini agama kebenaran. Kesesatan agama-agama lain terbukti dengan kegagalannya menghadapi cabaran zaman. Mereka terpaksa merubah isikandungan syariat agama mereka sehingga ke peringkat dasarnya.

Jadi, dengan ini ternafilah sebahagian dari orang yang berfikir bahawa Islam hendaklah di pinggirkan di masjid. Tertolaklah sistem yang tidak membenarkan Islam itu masuk ke kerusi-kerusi pemerintahan, kaunter-kaunter bank, ruang-ruang mahkamah, jalur-jalur penghubung dengan dunia luar dsbnya.

Mereka yang berpendapat bahawa Islam adalah begitu, adalah manusia yang diberi akal tetapi tidak digunakan. Hatinya telah tertutup manakala jiwanya penuh dengan kegelapan. Lebih gelap dari malam yang tidak berbintang.

------------------------------
Ulamak-ulamak Islam tidak pernah berhenti bekerja untuk menggali hukum dari al-Quran dan al-Sunnah. Mereka tidak pernahnya jemu untuk terus berijtihad terhadap masalah yang tidak terdapat di dalam kedua sumber di atas, berdasarkan ketetapan yang telah digariskan oleh keduanya.

Berikut ini adalah sebahagian dari hasil kajian mereka terhadap hukum alkohol:
************************
FAWTA MAJLIS FATWA KEBANGSAAN
-----------------------------

Berikut ini adalah petikan dari kertas kerja perbincangan Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai hukum alkohol. Anda boleh mendapatkan secara lengkap kertas kerja ini dengan menulis surat kepada Pusat Islam. Dan, kami memohon kemaafan atas kesilapan ejaan yang berlaku (jika ada).

---------------------------------------------------------------------------------
Alkohol terdiri daripada berbagai-bagai bahan bahan kimia iaitu Ethanol atau ethyl alkohol, Bothanal dan lain-lain lagi. Dalam minuman keras ethanol, ialah bahan yang menyebabkan mabuk dan ia merupakan bahan yang terbanyak sekali dicampurkan.

1) Setiap minuman arak mengandungi alkohol bukan alkohol itu dari arak. Alkohol dari proses pembuatan arak hukumnya haram dan najis, tetapi alkohol yang dibuat bukan melalui proses pembuatan arak maka hukumnya tidak najis dan tidak haram diminum.

2) Minuman ringan yang dibuat sama caranya dengan arak samaada mengandungi sedikit alkohol atau alkoholnya disulingkan adalah haram diminum.

3) Minuman yang dibuat bukan untuk dijadikan arak atau bukan yang memabukkan dan tidak sama caranya dengan proses arak adalah halal diminum.

4) Alkohol yang terjadi sampingan dalam proses pembuatan makanan tidak najis dan halal dimakan.

5) Ubat-ubatan dan pewangi yang ada kandungan alkohol adalah dimaafkan.

1. Penggunaan alkohol dalam bahan citarasa (Flavour) minuman ringan ini.

2. Proses pembuatan minuman ringan tidak sama dengan pembuatan arak, oleh itu minuman ringan halal diminum kerana ia tidak memabukkan dan tidak memberi mudharat kepada orang yang meminumnya.

Menurut kitab "AlFiqh Al-Muzahibil ar'baah " dalam bab "An najasat juzu 1, Alkohol yang dimasukkan ke dalam minyak wangi untuk menahan minyak wangi agar tahan lama atau untuk menaikkan roti adalah harus.

Bersandarkan kepada kenyataan ini boleh dikiaskan kepada penggunaan alkohol dalam minuman ringan.

Jawatan kuasa fatwa telah memberitahu bahawa alkohol ialah nama yang digunakan di dalam kaedah saintifik kepada sebatian yang mempunyai kumpulan (Ho). Dua jenis alkohol yang paling baik ialah

1. Methyl alkohol (Methanol) atau alkohol (kayu)

2. Ethily alkohol (Ethanol) atau alkohol biji-bijian.

Methyl alkohol (methanol) tidak digunakan untuk minuman kerana ia merupakan racun yang kuat, manakala ethly alkohol digunakan sebagai campuran di dalam minuman keras.

Penyediaan alkohol boleh dibuat melalui dua cara, iaitu:

a. Penyediaan dalam makmal
b. Penyediaan dalam industri.

Alkohol amat berguna sebagai bahan aktif dalam minuman, makanan dan ubat-ubatan dan sebagai bahan pelarut seperti untuk bawa alat solek dan minyak wangi.

Pada umunnya alkohol adalah bahaya dan beracun ia ada daya pembunuh dan memabukkan serta merosakkan anggota tubuh badan. Arak adalah memabukkan dan ia adalah haram seperti sabda nabi S.A.W "Setiap yang memabukkan itu
haram. Setiap yang memabukkan arak. Setiap yang memabukkan itu arak dan setiap yang memabukkan itu haram."(HR Muslim)

Lembaga Fatwa Al-Azhar berpendapat bahawa alkohol itu tidak najis manakala arak tetap najis.

Setelah membincangkan perkara ini dengan panjang lebar maka jawatankuasa mengambil keputusan bahawa minuman ringan yang dibuat sama caranya dengan arak adalah haram alkohol yang terjadi sampingan dalam proses pembuatan makanan tidak
najis dan boleh di makan.

Ubat-ubatan dan pewangi yang ada kandugan alkohol adalah harus dan dimaafkan.

*****************
Berikut ini adalah nukilan hasil muzakarah Majlis Muzakarah al-Azhar Panji Masyarakat (Islam dan masalah-masalah kemasyarakatan, terbitan pustaka panjimas, Jakarta, tahun 1983, hal. 427):

MEMAKAI ALKOHOL DAN MINYAK WANGI
--------------------------------

Dari M. Arif Bizrie Mardani, Banjarmasin Kalsel dan MZ Bondowoso, Pondok Pasentren Nurul Jadid, Probolinggo, Jatim.

Pertanyaan:
Bagaimana hukum alkohol dalam minyak wangi?

Jawaban:
Mengenai alkohol di dalam minyak wangi, telah majelis terangkan. Bimbingan pribadipun telah menguraikannya pada Panjimas yang baru lalu. Hukumnya tidak haram. Memakai minyak wangi, malah disunatkan. Namun sekedar tambahan bagi saudara, Majelis terangkan jualah, sepanjang Majelis ketahui, yakni:
Alkohol, adalah sebangsa gas cair (fluida).

Gas mempunyai sifat:

Kemampuan berpindah tempat dengan kecepatan yang besar dan mempunyai tenaga kinetik tinggi. Energi kinetik akan menaik, bila temperatur menaik (dinaikkan).

Campuran molekul-molekul gas, adalah merata. Molekul gas bergerak bebas ke segala arah dalam garis lurus dan tidak hilang energinya, akibat tubrukan antara sesama molekul tadi itu.

Menempati volume yang lebih besar, dibandingkan dengan zat padat atau cair dalam berat yang sama.

Oleh kerana sifat-sifat yang diterangkan di atas, maka setetes minyak wangi, yang telah beremulasi dengan gas (dalam hal ini alkohol yang dicairkan tadi), maka bau wangi itu ikut idbawa sebar dengan cepat dan ruang sebar (volume sebar)nya pun sama dengan ruang alkohol tadi yang mempunyai energi kinetik: Ek=1/2 mv2.

****************
Berikut ini pula adalah pendapat almarhum Syeikh Sya'rawi rh di dalam Anta tas'al Wa Islam tujib.:

Soal: Apakah memakai perfume yang mengandungi alkohol haram hukumnya?

Jawab: Memakai perfume yang mengandungi alkohol halal hukumnya. Alkohol menjadi haram jika diminum untuk bermabuk-mabuk.

Jika ia dipakai untuk tujuan baik, contohnya untuk bahan bakar, hukumnya tidak haram. Alkohol tidak najis. Ada beberapa negara Islam melarang import Eau'De Cologne yang mengandungi alkohol. Misalnya disalahgunakan untuk diminum dan bermabuk-mabuk.

Wanita boleh memakai perfume hanya di dalam rumah sahaja. Jika keluar rumah, dilarang memakainya. Sebab, dapat mengundang perhatian lelaki dan memberi rangsangan.
-----------------------------

Kesimpulan
----------
Berdasarkan penjelasan di atas, dapat kita fahami bahawa alkohol yang terdapat di dalam perfume adalah suci dan boleh dipakai untuk mengerjakan sembahyang tanpa ragu-ragu lagi.

Mengapa ia perlu diterima tanpa ragu-ragu? Kerana fatwa ini dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Perbincangan yang dilakukan bukan dari kalangan para ulamak sahaja, malah telah membabitkan sekali mereka yang berkepakaran dalam bidang berkenaan.

Ini dikuatkan dengan fatwa dari Lembaga Fatwa al-Azhar, yang semua orang tahu dengan ketokohan para ulamaknya.

Begitu kuat, di kukuhkan lagi dengan pandangan almarhum Syeikh al-Sya'rawi r.h., yang juga masyhur dengan penguasaannya bukan sahaja dalam ilmu-ilmu agama bahkan ilmu pengetahuan umum lainnya.

Mahu ikut yang mana.. ? Alkohol najis ataupun tidak? Ada sebahagian ulamak yang mengatakannya sebagai najis (tidak dibahaskan) dan sebahagiannya mengatakan tidak najis?

Firman Allah:
"Bertanyalah kepada orang yang tahu (ahli) jika kamu tidak mengetahui." (Al-Anbiya':7)

Menurut al-Amidi, Ibnu al-Najib dan Kamal al-Humam, bahawa bertaqlid kepada seorang mujtahid tertentu tidak wajib. Dalam satu masalah seseorang boleh mengikut fatwa seorang mujtahid dan dalam satu masalah yang lain dia boleh mengikut pendapat dari mujtahid yang lain. Atas dasar inilah maka seseorang yang mengikut satu-satu mazhab tidak wajib melazimi (terus mengikut mazhab itu sahaja) dalam setiap masalah yang difatwakan oleh imam mazhab berkenaan.

Bermakna, kita boleh mengikut fatwa di atas tanpa merasa rimas dengan keterikatan kita kepada mana-mana pandangan mazhab sebelum ini.

Jika saudara membaca kenyataan dan fatwa di atas, dan faham dengan hujah-hujahnya, maka tanpa ragu-ragu.. saudara ikut fatwanya, bermakna saudara tidak buta-buta bertaqlid. Saudara tahu dan faham hujahnya. Cara inilah yang patut diikuti oleh setiap umat Islam. Sikap taqlid membabi-buta dan bertindak berdasarkan desas-desus adalah satu sikap yang tidak diterima di dalam Islam. Umat Islam dahulu boleh bergerak maju kerana tindakannya berdasarkan hujah dan fakta yang jelas. Bukan
desas-desus dan khbar-khabar angin.

Seperkara lagi ialah, masalah alkohol di dalam perfume ini adalah masalah khilafiyah. Jumhur ulamak bersepakat menyatakan bahawa khamar dan jenis-jenis arak yang lain adalah najis. Kemudian mereka berbeda pendapat pula mengenai apakah kandungan alkohol yang ada pada benda-benda selain arak juga termasuk najis atau tidak?

Sebagaimana yang sering AL-AHKAM serukan, janganlah pula kita berkelahi hanya kerana masalah alkohol dalam perfume itu najis ataupun tidak.. Tidak tentu juga, kerana khuatir juga, nanti satu kampung berkelahi sebab masalah ini.

Sekian adanya. Wallahu a'lam.
Sebarkan...!

zain y.s.

0 comments:

Post a Comment