15 January 2009

Pesakit Buasir

Semasa saya buang air akan ada sedikit bahagian dalam yang terkeluar akibat daripada penyakit buasir, bahagian yang terkeluar itu akan masuk semula dengan sendirinya selepas saya buang air.

1) apakah bahagian yang terkeluar sedikit semasa buang air disebabkan oleh penyakit buasir dikira sebagai anggota zahir semasa mandi wajib?

2) perlukah saya meneran bagi mengeluarkan bahagian yang keluar itu setiap kali mandi wajib?

Mohon pertolongan dan penjelasan tuan

******************
Bismillahi wal hamdulillah,

Al-Jawab :

Quote:
1) apakah bahagian yang terkeluar sedikit semasa buang air disebabkan oleh penyakit buasir dikira sebagai anggota zahir semasa mandi wajib?

Bahagian yang terkeluar semasa membuang air besar bagi pesakit buasir adalah bukan bahagian / anggota zahir yang wajib dilalui oleh air semasa mandi wajib.Ini kerana , asal anggota tersebut adalah dibahagian dalam tubuh badan manusia dan bukan asalnya adalah anggota zahir.

Quote:
2) perlukah saya meneran bagi mengeluarkan bahagian yang keluar itu setiap kali mandi wajib?

Tidak perlu diteran atau dikeluarkan bahagian tersebut semasa mandi wajib.Ini kerana selain ianya bukan anggota zahir , perbuatan tersebut adalah suatu perbuatan yang menyusahkan dan memberatkan serta membebani pesakit buasir.Ianya juga menyalahi firman Allah swt dalam surah Al-Baqarah ayat 185:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

“Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.”

WA

0 comments:

Post a Comment