28 January 2010

Pelihara Anjing Untuk Menjaga Rumah

g@y@t »

Di sini saya ingin mengutarakan satu persoalan daripada seorang kenalan saya di sini.

Kawan saya ni merupakan seorang wanita Melayu yang berkahwin dengan orang Jepun (Muslim). Alhamdulillah, sepanjang dia di Jepun (baru 2 tahun) tiada masalah besar yang menimpa.

Tetapi dengan takdir Allah, pada minggu lepas rumahnya telah dimasuki pencuri dan ini merupakan satu perkara yang amat luar biasa di Jepun. Jepun pada lazimnya merupakan sebuah negara yang amat selamat untuk didiami.

Setelah kejadian itu, suami kepada wanita tadi telah mengutarakan satu cadangan kepadanya. Dia telah mencadangkan agar mereka memelihara seekor anjing besar dengan TUJUAN KESELAMATAN.

Soalannya :
(1) Apakah hukum memelihara seekor anjing untuk tujuan keselamatan ?
(2) Jika boleh, apakah perkara2 yang perlu diketahui mengenainya seperti bagaimana jika tersentuh haiwan tersebut atau bagaimana jika kita menyentuhnya dengan sengaja dan sebagainya.

Wassalam.


<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<~>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
Jawab

Alhamdulillah, inilah jawapannya:

Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Malaikat tidak masuk rumah yang terdapat di dalamnya anjing atau patung." (HR Bukhari & Muslim)

Sabdanya lagi:
"Barangsiapa yang memelihara anjing, kecuali anjing penjaga ternakan dan anjing untuk berburu, nescaya amalannya akan berkurangan setiap hari dua qirath." (HR Muslim)

Di dalam satu riwayat lain:
"...kecuali anjing untuk berburu dan anjing penjaga ternakan."

Di dalam satu riwayat lain:
"...kecuali anjing penjaga ladang, kambing atau untuk berburu."

Di dalam satu riwayat lain:
"...akan berkurangan amalannya (pahala) setiap hari satu qirath."

-------------
Dapat diambil pengajaran dari hadis di atas:

1. Haram memelihara anjing melainkan jika ada keperluan.

2. Pengecualian ke atas anjing untuk berburu, penjaga ladang dan ternakan adalah menunjukkan bahawa dibenarkan jika anjing itu dapat mendatangkan faedah. Oleh itu anjing polis adalah dibenarkan, diqiyaskan kepada pengecualian dalam hadis.

----------
Menurut al-Nawawi di dalam Syarah Sahih Muslim (juz 10, hal. 236), Menurut mazhab Syafi'i haram memelihara anjing tanpa hajat/keperluan. Dibenarkan membela anjing untuk perburuan, penjaga ladang/tanaman dan ternakan.

Apakah hukum memelihara anjing untuk menjaga rumah, tangga atau jalan? Menurut pendapat yang kuat, boleh hukumnya kerana diqiyaskan 3 jenis anjing yang dikecualikan di dalam hadis serta beramal dengan illah (sebab hukum) yang dapat difahami iaitu wujudnya hajat (keperluan).

------------
Masalah: Apakah hukum memelihara seekor anjing untuk tujuan keselamatan ?
Jawab: Dibenarkan jika ada keperluan untuk berbuat demikian.

------------
Pandangan kami, jika tidak ada satu keperluan yang benar-benar mendesak tidak perlu memelihara anjing kerana banyak masalah hukum yang terpaksa dipelihara seperti jilatannya, bulunya dsbnya. Adakalanya kita lalai terhadap itu semua hingga menyebabkan jilatannya dsbnya tidak dicuci 7 dengan air dan sekali darinya dengan air dan tanah.

Sekian. Wallahu a'lam.

Rujukan:
Syarah Sahih Muslim
Ahsanul Kalam, Syeikh Athiyah Saqr.

0 comments:

Post a Comment