15 January 2009

Lap Air Wuduk

Salam

Saya pernah terdengar pandangan yang mengatakan tidak elok jika dilap air wudhuk yakni air yang membasahi badan kita selepas wudhuk. Jika dilap maka muke kita tidak akan berseri-seri di kala hari kebangkitan kelak. Adakah benar pandangan seperti ini atau adakah hadis yang menyatakan dengan sahih mengenai perkara ini?

Mohon penjelasan. Terima kasih.

*****************
wa'alaikumussalam

Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan anda dengan kadar kemampuan yang ada, Ins Sya-Allah.

Terdapat didalam hadith Imam Muslim rh (riwayat dari Nuaim bin Abdullah al-Mujimir) bahawa pada hari Kiamat nanti umat Muhammad akan datang dengan wajah, tangan dan kaki terang benderang kerana bekas wudhu'. (Terdapat beberapa perbincangan mengenai hadith ini).

Namum demikian tidak ada nas yang mengatakan bahawa tidak dibenarkan seseorang itu mengeringkan anggota-anggota wudhu' dengan tuala dsb. Menurut Ibn Qudamah rh bukanlah menjadi kesalahan mengeringkan anggota wudhu' dengan tuala setelah dibasahkan semasa mandi dan berwudhu'. Ini adalah sebagaimana yang diriwayatkan dari Imam Ahmad, begitu juga Uthman ra., al-Hassan ibn Ali ra., Anas ra. dan ramai dikalangan ulama' yang menggunakan tuala setelah berwudhu' (al-Mughni, 1/195).

Ada dikalangan ulama' yang mengatakan bahawa hukum mengelap / mengeringkan anggota dengan tuala adalah makruh berdasarkan hadith Muslim dari Maimunah ra. dimana Nabi saw pernah diberikan tuala kepadanya dan baginda menolaknya.

Ibn Utsaimin rh mengatakan bahawa Nabi saw mempunyai sebab-sebab tertentu menolak tuala tersebut; kemungkinan ia berkenaan dengan tuala tersebut, atau disebabkan tuala tersebut tidak bersih dsb. Hakikatnya perbuatan Maimunah membawa tuala tersebut menunjukkan adalah menjadi kebiasaan Nabi saw mengeringkan dirinya dengan tuala (Majmu' Fataawa Ibn Utsaimin, 11/93).

Dr Yusuf al-Qaradhawi ha. juga menyatakan alasan yang sama, termasuklah beliau mengatakan bahawa kemungkinan peristiwa ini berlaku dimusim panas, dimana semua orang maklum bahawa Hijaz merupakan satu tempat yang amat panas. Dan kemungkinan besar Nabi saw inginkan tubuhnya basah dan beberapa kemungkinan yang lain (Fiqh al-Thaharah, ms 164).

Kata al-Qaradhawi lagi, oleh itu Ibnu al-Munzir meriwayatkan bahawa sebilangan sahabat, tabien, dan jumhur Imam-Imam dan Fuqaha' membenarkannya. Imam al-Nawawi ada mengatakan di al-Majmu', Yang benar dalam Mazhab kami adalah mustahab ditinggalkan, akan tetapi bukanlah dikatakan Makruh (Fiqh al-Thaharah, ms 165).

Kesimpulannya tidak ada nas yang menghalang perbuatan mengeringkan wudhu' dengan tuala, malahan terdapat dikalangan ulama' yang melakukannya. Jika anda berada dinegara yang mempunyai musim sejuk, maka akan kelihatan kepada anda tissue-tissue disediakan di tempat mengambil wudhu' untuk mengeringkan anggota wudhu' semoga dapat mengurangkan kesejukkan. WA.

Sekian, wassalam

0 comments:

Post a Comment