11 August 2009

Dalil Tentang Sentuh Perempuan Tak Batal Wuduk

Nak rujukan "DALIL"

Postby Guest what »

salam

Maaf kalau ini soalan ulangan. Cuma saya ingin dapatkan dalil tetang "bersentuhan suami isteri tak batal wuduk". Kalau boleh saya nak dapatkan dalil (hadis/quran) beserta nama kitab yang boleh dirujuki... jazakallah.

wassalam


*************************
Postby Abu_Umair »

بسم الله
والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد

Bagi memenuhi permintaan saudara, saya letakkan sebahagian daripada artikel saya bertajuk: Bersentuhan Lelaki dan Wanita: Batalkah Wudhuk?

Dalil Mazhab Yang Mengatakan Tidak Batal Wudhuk:

DALIL PERTAMA

عن عائشة رضي الله عنها قالت: فقدت رسول الله صلى الله عليه وسلم ذات ليلة فالتمسته بيدي فوقعت يدي على قدميه وهما منصوبتان وهو ساجد وهو يقول "اللهم إني أعوذ بمعافاتك من عقوبتك وأعوذ برضاك من سخطك وأعوذ بك منك لا أحصي ثناء عليك كما أنت أثنيت على نفسك"

Maksudnya: Daripada Aisyah r.a katanya: Aku mendapati Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tiada pada suatu malam, lantas aku meraba-raba mencarinya dengan tanganku. Lalu tanganku tersentuh dua kakinya yang tegak ketika baginda sujud sambil berkata “Wahai Tuhanku, aku mohon perlindungan dengan kemaafanmu daripada balasanmu, aku mohon dengan redhamu daripada kemurkaanmu, aku mohon denganmu daripadamu. Aku tidak mampu menghitung pujian ke atasmu sebagaimana Engkau sendiri memuji dirimu”.[1]

* Kedudukan Hadis

Hadis ini adalah sahih, diriwayatkan oleh Imam Muslim (dengan sedikit perbezaan lafaz). Lafaz di atas adalah riwayat Imam Al-Baihaqi. Kata Imam Al-Nawawi “Sanadnya sahih”.[2]

* Penjelasan Dalil

Aisyah r.a telah tersentuh kaki Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dengan tangannya, sedangkan baginda tetap meneruskan solatnya. Ini menunjukkan sentuhan itu tidak membatalkan wudhu’. Jika ia membatalkan wudhu’ sudah pasti baginda akan berhenti.

* Perbincangan

Hadis ini ditakwil oleh ulama mazhab syafie dengan mengatakan kemungkinan Aisyah menyentuh kaki Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam dalam keadaan berlapik.[3]

Namun takwilan ini dianggap oleh sebahagian ulama sebagai takwilan yang jauh, kerana Aisyah menyentuh tapak kaki Nabi yang sedang sembahyang. Kebiasaannya anggota tersebut terdedah.

Berkata pengarang kitab Al-Lubab “Di dalam satu riwayat yang sahih menyebut bahawa tangannya tersentuh tapak kaki Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sedangkan baginda sujud’…Kebiasaannya bahagian ini tidak tertutup terutamanya ketika sujud”.[4]

Di dalam Syarah Sunan Al-Nasai, Syeikh Muhammad Al-Mukhtar Al-Syanqiti menyebut “Riwayat ini agak jauh untuk ditakwil (dengan berlapik), kerana kebiasaannya kedua-dua kaki terdedah ketika sembahyang sewaktu sujud. Lebih-lebih lagi, pakaian mereka pada waktu itu ialah kain, yang tidak menutup kaki”.[5]

Sebahagian ulama mazhab Maliki pula mentakwilkan dengan mengatakan Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam tidak menyedari kakinya disentuh oleh Aisyah kerana terlalu asyik dengan ibadah. Maka di sisi mereka, jika sentuhan berlaku tanpa disedari atau tanpa qasad maka ia tidak membatalkan wudhu’.[6]

DALIL KEDUA

عن عائشة رضي الله عنها قالت أن النبي صلى الله عليه وسلم قبل بعض نسائه ثم خرج إلى الصلاة ولم يتوضأ

Maksudnya: Daripada Aisyah r.a. katanya “Bahawa Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam mencium sebahagian isteri-isterinya kemudian baginda keluar untuk solat dan tidak mengambil wudhu’”[7]

* Kedudukan Hadis

Hadis ini adalah antara hadis yang paling masyhur di dalam permasalahan ini. Kata Imam Al-Baihaqi: “Ini adalah hadis yang paling masyhur diriwayatkan di dalam bab ini”[8]

Ia diriwayatkan oleh Abu Daud, Tirmizi, Ibnu Majah dan lain-lain. Ia antara hadis yang diperselisihkan kedudukannya adakah sahih atau dhaif.

Antara yang mendhaifkan hadis ini ialah Imam Tirmizi[9], Imam Baihaqi[10], Imam Nawawi[11], dan Al-Hafiz Ibnu Hajar[12].

Hujahnya ialah hadis ini adalah riwayat Habib bin Abi Thabit, daripada Urwah, daripada Aisyah r.a. Mereka mengatakan Urwah di sini ialah Urwah bin Al-Zubair berdasarkan ada riwayat yang menyebut nama penuhnya (Urwah bin Al-Zubair) seperti riwayat Ibnu Majah. sedangkan Habib bin Abi Thabit tidak mendengar hadis melainkan daripada Urwah Al-Muzani. Dan Urwah Al-Muzani pula adalah majhul.

Antara ulama yang mengatakan hadis ini sahih pula ialah Imam Thabari[13] dan beberapa muhaqqiqin di kalangan ulama mutaakhir.

Syeikh Ahmad Syakir di dalam komentarnya terhadap Sunan Tirmizi telah mengemukakan satu perbahasan yang cukup menarik tentang hadis ini. Kesimpulannya hadis ini adalah sahih dan tiada kecacatan padanya. Apa yang disebut oleh beberapa ulama tentang kecacatannya, sebenarnya tidak menjejaskan kesahihan hadis ini.[14]

Syeikh Nasiruddin Al-Albani juga menghukumkan hadis ini sebagai sahih.[15]

Syeikh Muhammad bin Soleh Al-Uthaimin berkata: “Ini adalah hadis yang sahih. Terdapat baginya beberapa syahid (yang menguatkan hadis ini).[16]

* Penjelasan Dalil

Perbuatan cium kebiasannya berlaku dengan sentuhan tanpa berlapik. Ini menunjukkan sentuhan walaupun disertai dengan syahwat tidak membatalkan wudhu’.

Syeikh Muhammad bin Soleh Al-Uthaimin berkata: “Perbuatan cium tanpa disertai syahwat adalah satu andaian yang sangat jauh”.[17]

* Perbincangan

Pendokong mazhab pertama menolak dalil ini dengan berhujah bahawa ia dhaif sebagaimana dinukilkan tadi. Jika diandaikan hadis ini sahih, mereka mentakwil pula dengan mengatakan Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam mencium isterinya dengan berlapik.[18]

DALIL KETIGA

عن عائشة رضي الله عنها قالت إن كان رسول الله صلى الله عليه وسلم ليصلي وأنا معترضة بين يديه اعتراض الجنازة حتى إذا أراد أن يسجد غمزني برجله

Maksudnya: Daripada Aisyah r.a. katanya “Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sedang bersembahyang, dan aku berbaring di hadapannya seperti pembaringan jenazah. Hingga apabila baginda ingin sujud, baginda mencuitku dengan kakinya”[19]

* Kedudukan Hadis

Hadis ini adalah sahih, riwayat Bukhari dan Muslim. Di dalam Sunan Nasai, disebutkan dengan lafaz yang lebih jelas iaitu مسني maksudnya “baginda menyentuhku”. Riwayat ini juga sahih sebagaimana kata Imam A-Nawawi di dalam Majmuk dan Al-Hafiz Ibnu Hajar di dalam Talkhis Al-Habir: “Sanadnya sahih”[20]

* Penjelasan Dalil

Perkataan غمزني di dalam hadis bererti mencuitku. Ia memberi erti Rasulullah menyentuhnya. Kata Ibnu Hajar di dalam Fathul Bari “ Diambil dalil daripada hadis ini bahawa menyentuh wanita tidak membatalkan wudhu’”[21]

Manakala lafaz مسني (menyentuhku) adalah lebih jelas di dalam pendalilan ini. Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar di dalam Talkhis: “Hadis ini dijadikan dalil bahawa perkataan اللمس (menyentuh) di dalam ayat ( Surah Al-Nisa’ ayat 43) adalah bersetubuh, kerana baginda menyentuhnya (Aisyah) di dalam sembahyang dan tetap meneruskannya”.[22]

* Perbincangan

Hadis ini juga ditakwil oleh pendokong mazhab pertama dengan beberapa takwilan. Antaranya Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam menyentuh Aisyah dengan berlapik. Kata Imam Nawawi “Inilah yang zahir bagi seseorang yang sedang tidur di atas hamparan.”[23] Ada juga yang mengatakan hukum ini adalah khusus bagi Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam.[24]

DALIL KEEMPAT

عن عائشة رضي الله عنها أن النبي صلى الله عليه وسلم يقبل بعض نسائه ثم لا يحدث وضوءا

Maksudnya: Daripada Aisyah r.a. bahawa Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam mencium sebahagian para isterinya kemudian baginda tidak memperbaharui wudhu’.[25]

* Kedudukan Hadis

Di dalam hadis ini terdapat perawi yang diperkatakan tentangnya, iaitu Said bin Basyir.

Kata Ibnu Hajar Al-Haithami “Beliau (Said bin Basyir) dianggap thiqah (dipercayai) oleh Syu’bah dan lain-lain. Yahya bin Ma’in dan sekumpulan lagi medhaifkan beliau”.[26]

Di dalam Taqrib Al-Tahzib, Al-Hafiz Ibnu Hajar mengatakan beliau dhaif.[27]

* Penjelasan Dalil

Perbuatan cium kebiasannya berlaku dengan sentuhan tanpa berlapik. Ini menunjukkan sentuhan walaupun disertai dengan syahwat tidak membatalkan wudhu’.

Syeikh Muhammad bin Soleh Al-Uthaimin berkata: “Perbuatan cium tanpa disertai syahwat adalah satu andaian yang sangat jauh”.[28]

* Perbincangan

Selain hadis ini dipertikaikan kesahihannya, ia juga ditakwil dengan takwilan-takwilan yang sama sebagaimana dalil-dalil sebelumnya.

DALIL KELIMA

عن عائشة رضي الله عنها قالت أن رسول الله صلى الله عليه وسلم يتوضأ ثم يقبل بعدما يتوضأ ثم يصلي ولا يتوضأ

Maksudnya: Daripada Aisyah r.a. katanya, “Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah berwudhu’ kemudian baginda mencium selepas berwudhu’ dan kemudian baginda bersembahyang tanpa mengambil wudhu’”[29]

[1] Sahih Muslim bersama Syarah Al-Nawawi (2/212)
[2] Majmuk, Imam Al-Nawawi (2/21)
[3] Majmuk, Imam Al-Nawawi (2/29), ‘Aridhah Al-Ahwazi, Ibnul Arabi (1/105)
[4] Al-Lubab (1/147)
[5] Syarah Sunan Al-Nasai, Al-Syanqiti (2/335)
[6] ‘Aridhah Al-Ahwazi, Ibnul Arabi (1/105)
[7] Sunan Abi Daud (1/234), Sunan Ibni Majah (1/405), Sunan Tirmizi (1/128)
[8] Makrifatul Sunan Wal Athar, Al-Baihaqi (1/376)
[9] Sunan Tirmizi (1/128) Katanya “Aku mendengar Imam Al-Bukhari mendhaifkan hadis ini”.
[10] Katanya “Hadis ini maalul (terdapat kecacatan)” lihat Makrifatul Sunan Wal Athar (1/376)
[11] Kata Nawawi di dalam Majmuk “Ini adalah hadis yang dhaif dengan sepakat para huffaz. Dan antara yang mendhaifkan hadis ini ialah Sufian Al-Thauri, Yahya bin Ma’in, Said Al-Qattan, Ahmad, Abu Daud dan Abu Bakar Al-Naisaburi” Lihat Majmuk (2/28), Khulasah Al-Ahkam, Imam Nawawi (1/137)
[12] Talkhis Al-Habir, Ibnu Hajar (1/199)
[13] Tafsir Thabari (7/73)
[14] (1/134-138)
[15] Sahih Sunan Abi Daud, Al-Albani (1/56)
[16] Al-Syarhul Mumti’, Al-Uthaimin (1/232)
[17] Al-Syarhul Mumti’, Al-Uthaimin (1/232)
[18] Majmuk, Imam Al-Nawawi (2/28)
[19] Sahih Bukhari (m/s:84)
[20] Majmuk, Imam Al-Nawawi (2/27), Talkhis Al-Habir, Ibnu Hajar (1/199)
[21] Fathul Bari, Ibnu Hajar (1/638)
[22] Talkhis Al-Habir, Ibnu Hajar (1/199)
[23] Majmuk, Imam Al-Nawawi (2/27)
[24] Fathul Bari, Ibnu Hajar (1/638)
[25] Sunan Al-Daraquthni (1/337), Majmak Al-Zawaid (1/247)
[26] Majmak Al-Zawaid (1/247)
[27] Taqrib Al-Tahzib, Ibnu Hajar (m/s:374)
[28] Al-Syarhul Mumti’, Al-Uthaimin (1/232)
[29] Sunan Al-Daraquthni (1/334)

11 comments:

ahmadi said...

Asalamulaikum....
saya ingin bertanya satu soalan :

1.Jika seorang suami memuaskan isterinya dengan menggunakan jari sehingga isterinya klimak sedangkan suaminya tidak.Adakah suami perlu mandi wajib?

terima kasih

RIEKI IMTIYAZ said...

assalamualaikum...sy ingin bertanya satu soalan berkaitan perbincangan bertajuk 'DALIL TENTANG SENTUH PEREMPUAN TAK BATAL WUDHU'...perempuan yang dimaksudkan adakah hanya hubungan suami isteri atau perempuan yang bukan muhrim selain isteri??

Admin said...

w'salam

termasuk semua orang perempuan, isteri dan yang bukan mahram. WA.

mohd illiyein firdaus said...

assalamualaikum..apabila kita sedang bersembahyang datang seorang kanak kanak wanita berlari meluru ke arah kita yg sedang bersembahyang dan mengenai kita. Adakah batal sembahyang/wuduk kita tersentuh kanak kanak perempuan yg belum baligh?

Admin said...

w'salam

tidak batal solat kerana anak-anak yang belum baligh... WA

Anonymous said...

salam..
sekadar bertanya..

jika benar suami batal wudhuk jika bersentuhan dengan isteri,

bagaimana pula hukumnya jika suami terpaksa mewudukkan isterinya yang sedang terlantar sakit?

kita disunatkan megambil wudhuk sebelum tidur,tapi apakah rasionalnya jika sebaik sahaja kita baring di katil dan tersentuh pasangan,terus terbatal wudhuk tersebut?

saya masih lagi mencari rasional dan alasan2 kukuh dalam hal batal atau tidak menyentuh isteri ini.

salam...

Anonymous said...

saya pun terfikir macam tu juga,setiap perkara perlu ada rasionalnya kerana islam itu mudah..

Anonymous said...

hukum islam tidak perlu di cari rasionalnya, hanya perlu memahami dalil-dalilnya. Teringat kata-kata saidina Ali...lebih kurang bermaksud "Jika hukum itu berdasarkan logik, tentu yang diusapi di bahagian bawah kauf (biasanya bahagian bawah yang kotor) dan bukan di atasnya". Wallahu A'lam

Anonymous said...

salam...suami saya bangsa palestine. katanya tak batal wuduk antara suami dan isteri sahaja tetapi jangan sampai syahwat. Bagi bukan muhrim tetap batal. kalau bukan muhrim boleh sentuh dan tak batal, itu dah jadi tak haram. Sedangkan kita tahu haram hukumnya. Dalil2 tak batal air wuduk antara suami isteri turut suami jelaskan pada saya. Bagi suami islam itu mudah. banyak lagi benda sesat yang kita buat dalam Islam. Contohnya berendoi, cukur jambul yang terkeluar dari syariat. Baru-baru ini mufti selangor ada menerangkan tentang cukur jambul, tepung tawar pengantin dan sebagainya. Apabila dikatakan sesat dari segi syariah, banyak wanita yang bertanya mengenainya sebab cukur jambul baby dah macam jadi satu trend. Apabila saya ajukan pertanyaan pada ayah sendiri tentang cukur jambul, ayah melenting marah. Tak tahu kenapa. Mungkin disebabkan saya kata, mufti cakap orang yang sama-sama terlibat dengannya termasuk ustaz yang ikut serta sesat dari segi syariat. Hmm...Puasa korek hidung batal puasa ke tak? Soalan itu pun suami saya tertpenpan bila mendengar jawapan batal. Wallah...Lyana. Kenapa Islam kat Malaysia ni lain dari Palestine, katanya... semua tak sama. Padahal benda yang sesatkan kamu diikut. Contohnya pemberian bunga telur pada majlis khatam & kahwin. Itu serapan Hari Easter. Islam tak ada semua tu. Bagi bakal pengantin...waspada dengan kalungan rantai sebagai aksesori sebab ada design bersimbolkan tuhan majusi, penyembah berhala. Ada kata tanya hati. mana boleh tanya hati. Kalau dah ada halal haramnya. Ikut yang betul. Macam tarian mak yong. Kelantan haramkan sebab ada unsur khurafat. Tapi orang di KL terima. Katanya...tanya niat hati kalau nak menari. Tak boleh. Tu dah sekongkol...betul tak? Wallahualam

Anonymous said...

maaf..tuhan matahari, bukan berhala. silap taip.hehehe

Anuar said...

Apa syara' ajar itulah yang sepatutnya selagi ia tidak membatasi syara' :-) . Tegur menegur diantara satu sama lain...dan perlu untuk patuh landasan Islam, BUKANNYA ikut trend/adat semasa yang bercanggah dengan syara'..

Yang manakah lebih penting? semesti Allah :-)

Post a Comment